Artikel

Tidak Lagi Perlu Kad – Mastercard Menguji Kebolehan Bayar Dengan Hanya Senyum Pada Terminal

Pada hari ini, ia telah menjadi kebiasaan sama ada kita bayar menggunakan wang tunai, kad, atau telefon pintar pada terminal pembayaran selepas melakukan pembelian. Dengan perkembangan teknologi, Mastercard dilihat ingin memudahkan lagi proses berkenaan.

Melalui teknologi baharu dinamakan Mastercard Biometric Checkout, ia membolehkan pengguna membayar hanya dengan senyum pada terminal pembayaran.

Dengan ujian ini, pengguna terlebih dahulu perlu mendaftar menggunakan aplikasi Mastercard khusus yang akan melakukan imbasan wajah dan juga senyuman pengguna. Seterusnya, pada kaunter pembayaran, anda hanya perlu senyum pada sebuah peranti khusus yang disediakan, dan ia akan memproses pembayaran.

Ini adalah antara ujian terbaru Mastercard dalam menggunakan kaedah biometrik untuk pembayaran.

Mastercard telah mula menguji ciri ini di Brazil, dan mungkin memperluaskan ia kepada pengguna seluruh dunia pada masa akan datang.