Artikel

Penglibatan Penghantar Makanan Semakin Menurun, Sekitar 25% – Sejak Seluruh Ekonomi Dibuka

Pembukaan secara menyeluruh sektor ekonomi sesebuah negara tidak sekadar mendatangkan kesan positif kepada pertumbuhan tetapi terdapat juga risiko pada sesetengah perniagaan.

Antaranya adalah platform pesanan makanan, yang kini mengalami penurunan penglibatan rakan penghantar makanan – yang semakin menurun sehingga 25%.

Lebih memburukkan situasi, aliran permintaan pesanan makanan pada medium tersebut juga sedang menurun sekitar 10%.

Mengikut laporan MalayMail bersama Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, situasi ini berlaku atas beberapa faktor. Di mana sebahagian rakan penghantar telah kembali ke pekerjaan asal mereka susulan pembukaan ekonomi Malaysia secara menyeluruh telah dilaksanakan.

Ada juga diantara mereka menyambung pendidikan setelah menamatkan cuti pembelajaran dalam tempoh tertentu.

Akan tetapi faktor utama yang wajar diberi perhatian adalah keselamatan penghantar makanan di jalan raya. Ini kerana penguatkuasaan tertentu wajar dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan rakan penghantar negara.

Meskipun tidak diperincikan jumlah penurunan aliran industri ekonomi-gig ini namun segelintir penghantar makanan mengakui terdapat penurunan yang berlaku pada pesanan aplikasi tertentu, sehingga memerlukan mereka menunggu kehadiran pesanan lebih lama dari sebelum ini.