Artikel

Samsung Batalkan Rancangan Memasuki Pasaran Kenderaan Elektrik

Tatkala pasaran kenderaan elektrik (EV) dunia semakin bercambah dan rancak dalam perhatian pengguna – Samsung, penyedia teknologi global memiliki pandangan berbeza apabila membatalkan rancangannya untuk memasuki pasaran tersebut.

Walaupun memiliki kelebihan dalam beberapa industri komponen automotif namun Samsung dilaporkan melihat segmen EV tidak berupaya menghasilkan keuntungan yang mampan kepada kumpulan.

Penyertaan jenama pada penghasilan EV secara langsung memerlukan komitmen yang tinggi terutama pada peruntukan kos dan tempoh penyelidikan kenderaan yang panjang.

Selain itu, Samsung juga berpendapat tindakan untuk tidak memasuki pasaran EV juga bertujuan mengelak sebarang konflik kepentingan bersama pelanggan semasa dan pelanggan berpotensi mereka.

Keutamaan kumpulan ketika ini adalah untuk mengekalkan kualiti perkongsian serta perkhidmatan sedia ada dan bukan memberi fokus pada segmen perniagaan baharu. Peralihan tumpuan berupaya menjejaskan kepentingan Samsung bersama pelanggan korporat mereka.

Meskipun Samsung tidak menyambung hasrat penyertaan pada segmen EV, namun jenama ini kekal menjadi rakan pilihan pada rangkaian automotif. Antaranya terlibat sama pada komponen bateri adalah Stellantis, BMW dan Ford.