Pertumbuhan negara ketika ini memaparkan prestasi positif apabila berkembang 5.0% pada suku pertama 2022.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pada pengumuman prestasi hari ini (13 Mei), pertumbuhan negara telah disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.
Keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1% di samping sokongan dasar yang berterusan. Permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan.
Bagi aspek penawaran pula – sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5% dan 6.6%. Ini sekaligus memperlihatkan ekonomi berkembang sebanyak 3.9%.
Sementara inflasi keseluruhan pula menjadi sederhana dengan catatan 2.2% bagi suku pertama. Di mana ia mencerminkan sumbangan yang lebih kecil telah berlaku daripada kesan asas harga bahan api runcit yang lebih rendah pada tahun lalu, dan disebabkan ketiadaan kesan asas daripada rebat tarif elektrik yang dilaksanakan pada tahun 2020.