Artikel

HSBC Umum Sedia $1 Bilion Dana Buat Usahawan Wanita Di 11 Pasaran – Termasuk Malaysia

HSBC, perbankan global kini menyediakan dana pinjaman $1 bilion (RM4.4 bilion) kepada kumpulan perniagaan milik wanita di 11 pasaran global – termasuklah kumpulan perniagaan milik wanita di Malaysia, dalam tempoh 12 bulan mendatang.

Pinjaman di bawah Dana Usahawan Wanita ini akan membolehkan wanita menerima pelbagai akses rangkaian serta khidmat nasihat pelaburan bersama HSBC Roar. Inisiatif ini secara langsung akan meningkatkan kecekapan usahawan wanita dalam memperluaskan perniagaan mereka di pasaran serantau

Buat pengetahuan umum, setakat 2019 – hanya 3% daripada perniagaan milik wanita menerima sokongan pembiayaan, manakala perolehan modal teroka bagi perniagaan diasaskan wanita pula hanya mencapai 2% pada 2021. Ini secara langsung memperlihatkan jurang jantina dalam kalangan perniagaan yang diterajui wanita perlu ditamatkan.

Menerusi agenda ini, dunia dapat merealisasikan sasaran bahawa penyertaan perniagaan yang diasaskan wanita boleh menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan global sekitar $5 trilion.