Artikel

Berjaya Dijangka Buka 13 Cawangan Starbucks, Perluas Konsep Pandu-Lalu – Menjelang Akhir Jun Ini

Berjaya Food, terus mengorak langkah memperluaskan jejak jenama makanan mereka – apabila dijangka bakal mempercepatkan agenda pertambahan rangkaian bagi Starbucks menjelang akhir Jun ini.

Seiring dengan penamatan suku keempat yang berakhir pada 30 Jun 2022 kelak, Berjaya disasarkan akan membuka sehingga 13 cawangan baharu Starbucks. Di mana 5 rangkaian darinya akan memiliki kemudahan pandu-lalu buat pengguna.

Tidak hanya penambahan rangkaian Starbucks, Berjaya turut akan menggandakan usaha perluasan pada Kenny Rogers Roasters dengan membuka 4 rangkaian baharu.

Melalui perancangan itu, firma penyelidikan CIMB-CGS melihat langkah itu bakal melonjakkan pertumbuhan jualan mereka pada suku keempat.

Peningkatan itu turut didorong hasil operasi yang lebih lama bersama permintaan pelanggan yang semakin tinggi sempena musim Aidifitri  ketika ini. Berdasarkan prestasi, keuntungan bersih Berjaya Food kini di paras RM31.58 juta, meningkat berbanding data sebelumnya iaitu RM11.61 juta.

Sementara pendapatan pula turut meningkat kepada RM246 juta, berbanding RM181.73 juta pada tahun lalu. Ini menandakan pertambahan hasil sekitar 35% telah dicapai entiti.