Artikel

OPR Kini Naik Kepada 2.00% – Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini (11 Mei) mengumumkan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada paras 1.75% kepada 2.00% – dengan peningkatan 0.25 mata asas.

Penetapan ini dicapai berasaskan perbincangan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), di mana faktor peningkatan adalah disebabkan aktiviti pemulihan negara secara berterusan dapat dicapai dan aliran pasaran buruh yang semakin bertambah baik.

Selain itu, kadar siling dan lantai OPR juga meningkat kepada 2.25% dan 1.75%, masing-masing. Manakala inflasi keseluruhan negara pula diunjurkan kepada purata antara 2.2% – 3.2% bagi tahun 2022.

Tindakan ini secara langsung akan memberi kesan kepada pengurangan tekanan kos yang berlaku disebabkan krisis Ukraine-Rusia dan isu global yang menyebabkan kenaikan harga komoditi serta ketirisan bekalan dunia.

Bagi ekonomi Malaysia, petunjuk terkini memaparkan pertumbuhan negara berada pada kedudukan yang lebih kukuh, didorong oleh pengukuhan permintaan dalam negeri dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan. Pasaran buruh terus meningkat tatkala kadar pengangguran menjadi lebih rendah, ini secara langsung membawa kepada penyertaan buruh yang lebih tinggi dan prospek pendapatan negara yang lebih baik.

Seterusnya, peralihan ke arah endemik pada 1 April 2022 lalu juga dilihat akan mengukuhkan aktiviti ekonomi Malaysia, sejajar dengan pelonggaran sekatan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Sementara aktiviti dan prospek pelaburan juga dilihat bertambah baik.

Walau bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan kekal wujud – ini merangkumi isu pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meningkat, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan perkembangan buruk yang mengelilingi COVID-19.

Untuk makluman, negara telah menetapkan paras 1.75%, ini sejak Julai 2020 lagi. Ini perubahan pertama sejak tempoh tersebut dilaksanakan BNM.