Artikel

Seramai 115 Penjawat Awam Terlibat Dengan Rasuah – Statistik SPRM Januari-April 2022

Kegiatan rasuah dalam kalangan pekerja awam dan swasta negara kini secara berterusan dibanteras oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagaimanapun trend tersebut dilihat semakin menurun berbanding data tahun sebelumnya.

Berpaksikan data Statistik Tangkapan Rasuah SPRM bagi Januari hingga April 2022, sekitar 115 penjawat awam telah didapati terlibat dengan aktiviti rasuah. Di mana bulan Januari dengan tangkapan 42 penjawat awam (26.42%), Februari dengan 27 penjawat awam (32.14%), Mac dengan 28 penjawat awam (22.40%) dan April dengan 18 penjawat awam (38.30%) telah dikesan.

Data ini untuk makluman memaparkan kategori penjawat awam meliputi – bahagian Pengurusan Tertinggi, Pengurusan Profesional dan Sokongan Penjawat Awam.

Sementara itu, bahagian Awam pula merangkumi Swasta, Orang Awam dan Lain-Lain memaparkan angka keseluruhan sehingga April 2022 – sekitar 300 pesalah.

Buat pengetahuan umum, angka bagi tempoh 4 bulan ini dilihat sedikit menurun berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021 – di mana kegiatan rasuah (penjawat awam- 206) dan (orang awam – 211).

Namun penurunan tersebut tidak menidakkkan kenyataan trend rasuah dalam kalangan penjawat awam kekal tinggi dari bulan-ke-bulan. Setakat Januari 2022, Malaysia terus alami kejatuhan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia – apabila mendapat kedudukan ke-62, jatuh 5 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Untuk makluman Malaysia menerima 48 skor daripada 100 skor CPI, menjadi antara 80 buah negara memiliki isu rasuah yang diklasifikasikan tinggi.