Artikel

Kadar Pengangguran Kekal 4.1% – Seramai 669,200 Penganggur Kini Dicatatkan

Prestasi landskap pekerjaan negara kini memaparkan pemulihan, apabila bilangan penduduk bekerja semakin kukuh pada Mac 2022 dengan pertambahan seramai 38,500 pekerja.

Ini bermakna kadar pengangguran negara untuk Mac 2022 masih kekal di paras 4.1% dan menunjukkan penurunan penganggur kepada 669,200 individu. Data ini lebih baik berbanding Februari 2022 yang mencatatkan sekitar 671,800 penganggur.

Sementara melihat pada kategori pengangguran pula, 83.8% daripada jumlah penganggur adalah terdiri daripada pemohon pekerjaan yang aktif – iaitu kumpulan yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

Peratusan itu secara langsung berpotensi meningkatkan data penduduk bekerja di Malaysia dari semasa ke semasa.

Manakala ini pula tempoh pengangguran yang masih berlaku di Malaysia daripada jumlah keseluruhan bagi Mac 2022;

  • Menganggur kurang dari 3 bulan – seramai 382,113 individu
  • Menganggur kurang ari 3-6 bulan – seramai 155,254 individu
  • Menganggur kurang dari 6-12 bulan – seramai 83,650 individu
  • Menganggur lebih dari 1 tahun – seramai 47,513 individu

Akan tetapi, walaupun kadar pengangguran menyeluruh memaparkan penurunan namun secara khususnya – untuk kadar pengangguran dalam kalangan belia telah meningkat kepada 13.1% iaitu seramai 361,000 penganggur belia dicatatkan setakat Mac 2022.

Takrifan penganggur belia ini merangkumi peringkat usia bermula 15 tahun sehingga 24 tahun – di bawah pengiraan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).