Artikel

Selepas Aidilfitri – Harga Makanan, Pakaian Dan Keperluan Mungkin Naik Sehingga 15%

Kebiasaannya harga pasaran akan kembali normal, sesudah tamatnya cuti perayaan susulan aktiviti jualan akan kembali menurun – tetapi berbeza untuk tahun ini, apabila dijangka rakyat akan berdepan kenaikan harga barangan disebabkan beberapa faktor.

Peningkatan harga selepas Aidilfitri ini, dijangka merangkumi kenaikan harga makanan, pakaian serta barangan keperluan antara 10% hingga 15%.

Jangkaan segelintir pengilang dan peniaga ini dilihat telah didorong hasil ketirisan bekalan mentah, kenaikan harga global serta kekurangan 50% tenaga kerja dalam sesebuah sektor.

Faktor ini secara langsung bukan sekadar menarik keuntungan melalui kenaikan harga sahaja tetapi ia turut memberi tekanan kos operasi pada perniagaan meliputi kos pengangkutan, bahan, penyediaan khidmat dan gaji pekerja yang semakin meningkat.

Maka kenaikan yang berlaku mengikut laporan – sememangnya tidak dapat dielakkan dan memerlukan ketersediaan pengguna awam berhubung isu ini. Antara perniagaan yang mengakui peningkatan tersebut adalah Mydin, Persekutuan Fesyen Tekstil dan Pakaian (FMFTA) serta PKS Dewan Perdagangan, Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).