Artikel

Kadar Kelulusan Pinjaman Rumah Semakin Meningkat, Awal 2022 – Naik 19.4%

Tahun ini, mula memperlihatkan corak pasaran menarik pada pembelian hartanah di negara – apabila kadar kelulusan pinjaman rumah semakin meningkat sekitar 19.4% bagi 3 bulan pertama 2022.

Bagi tempoh tersebut, ternyata sejumlah RM42.4 bilion pinjaman bagi pembelian hartanah telah diluluskan negara. Di mana untuk bulan Mac sahaja sekitar RM16.4 bilion telah diluluskan pinjamannya.

Aliran itu sekaligus memaparkan jumlah pinjaman mengikut bulan-ke-bulan telah meningkat 9% berbanding data sebelumnya. Ini bermakna prospek jualan hartanah Malaysia dijangka akan tampil lebih menarik pada 2022 dan terus konsisten susulan hasil pembukaan ekonomi menyeluruh.

Sementara mengikut pengamatan firma penyelidikan MIDF Research pula, peningkatan kelulusan pinjaman rumah yang sedang berlaku didorong hasil kenaikan permohonan pinjaman semasa yang tinggi.

Ia dapat diperlihat pada perbandingan data suku pertama 2021 hanya memperlihatkan 34% kelulusan pinjaman, berbeza suku pertama 2022 yang telah mencapai kelulusan pinjaman sekitar 39%.

Meskipun diakui kenaikan permintaan kediaman semakin menggalakkan, semua pihak perlu sedari kenaikan sebahagian kos binaan secara langsung akan mempengaruhi harga jualan rumah. Situasi ini tanpa sedar akan memperlihatkan tekanan kos terhadap pemaju hartanah walaupun permintaan kediaman semakin meluas pada tahun ini.