Artikel

Pembayar Cukai Diingatkan Segera Kemuka Borang Nyata Cukai – Tarikh Akhir 15 Mei Ini

Dalam keriangan menyambut bulan Syawal, para pembayar cukai kini diingatkan untuk tidak melupakan tanggungjawab mereka – dengan mengemukakan Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara e-Filing.

Ini kerana tarikh akhir pengemukaan borang nyata cukai tersebut adalah pada 15 Mei 2022.

Buat pengetahuan umum, setakat akhir Mac 2022 sekitar 1.16 juta pembayar cukai telah mengemukakan borang nyata cukai mereka secara sistem e-Filing dan manual. Bagaimanapun kaedah manual telahpun berakhir pada 30 April lalu.

Maka bagi melancarkan proses mengemukakan borang nyata tersebut, para pembayar cukai terlibat boleh merujuk dan klik pada pautan panduan Program Memfail Borang Nyata Cukai bagi tahun 2022 ini untuk ketahui penjelasan proses mengemukakan borang.

Adanya tindakan selanjutnya, ini akan membantu pembayar cukai terhindar dari sebarang pengenaan penalti lewat hantar borang dan kenaikan lewat bayar cukai.

Untuk maklumat lanjut, semua pihak boleh melangsungkan persoalan pada saluran Hasil Care Line di talian 03-89111000 / 603-89111100 (luar negara), di HASiL Live Chat dan pautan borang maklum-balas di portal rasmi LHDN.