Artikel

Pulau Pinang Rancang Larang – Rumah Sewa Jangka Pendek, Inap Desa

Berikutan terdapat aduan gangguan disebabkan penginapan pelancong di kawasan perumahan, kondominium serta pangsapuri sekitar Pulau Pinang – kini kerajaan negeri mula merancang melaksanakan larangan tertentu tidak lama lagi.

Iaitu larangan rumah sewa jangka pendek atau inap desa (rumah penginapan) di hartanah bertanah dan bertingkat.

Mengikut laporan pada makluman exco negeri, tindakan larangan itu bertujuan menjaga keamanan kawasan para penduduk. Pihak kerajaan negeri akan bertegas dan menyarankan para pelancong yang tiba di negeri itu untuk menginap di hotel.

Sekiranya masih terdapat pihak yang berdegil – badan pengurusan kediaman seperti pangsapuri, kondominium atau sebarang hartanah berstrata kelak diberi kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pemilik rumah yang menawarkan khidmat sewa jangka pendek atau inap desa.

Tidak hanya itu, badan pengurusan pangsapuri, kondominium atau sebarang hartanah berstrata juga boleh perkenalkan larangan inap desa dan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013, pemilik rumah yang berkaitan boleh dikenakan denda sehingga RM200 kerana melanggar aturan.

Kerajaan Pulau Pinang turut menyatakan tindakan menyewakan unit kediaman boleh dilakukan – hanya jika pemilik rumah mendapatkan persetujuan sekurang-kurang 75% penduduk dan mesti memiliki rekod pada data mesyuarat agung tahunan.