Artikel

CEO Digi Umum Berehat Seketika

DiGi.com Berhad, penyedia khidmat mudah alih ketiga negara kini mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Albern Murty kini akan berehat seketika atas faktor isu kesihatan keluarga dan kembali berkhidmat semula pada separuh kedua 2022.

Pengumuman cuti sementara ini pada kenyataan Bursa ini akan berkuat kuasa serta-merta.

Susulan tindakan itu, semasa ketiadaannya, Ketua Pegawai Pemasaran DiGi Praeen Rajan akan menggalas tanggungjawab selaku pemangku CEO.

DiGi menjelaskan meskipun Albern Murty dalam tempoh berehat seketika, namun beliau masih kekal dalam peranannya berhubung usaha korporat mereka – antaranya perancangan berkaitan cadangan penggabungan DiGi dan Celcom Axiata Bhd.

Buat pengetahuan umum, DiGi dan Celcom kelak akan bergabung menjadi suatu entiti baharu, bagaimanapun pelaksanaan ini masih menanti keputusan pengawal-selia. Dijangka ia dapat direalisasikan sekitar Julai hingga Disember 2022 kelak.