Artikel

Pelaksanaan Gaji Minimum RM1,500 Kini Diwartakan

Kini secara rasminya perintah gaji minimum paras RM1,500 di Malaysia mula diwartakan pentadbiran negara.

Pewartaan ini dapat dilihat pada penerbitan Perintah Gaji Minimum 2022 mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 – ia dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia pada tarikh 27 April lalu. Notis itu dapat diperlihat pada portal rasmi Pejabat Peguam Negara ketika ini.

Buat pengetahuan umum, pelaksanaan RM1,500 akan bermula pada 1 Mei ini.

Berdasarkan perincian warta – kadar gaji minimum yang kena dibayar antaranya akan mengikut bilangan hari bekerja dalam seminggu. Ini antara pecahan penerapan gaji tersebut;

  • 6 hari bekerja – RM57.69 sehari
  • 5 hari bekerja – RM69.23 sehari
  • 4 hari bekerja – RM7.21 bagi setiap jam

Manakala pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kumpulan ini juga hendaklah menerima paras gaji tidak kurang daripada RM1,500.

Selain itu, mengikut Perkara 4(3)(a) dokumen berkenaan, warta ini terpakai bagi pekerja yang diambil bekerja oleh seseorang majikan yang menggaji 5 orang pekerja atau lebih.

Ini bermakna bagi firma yang memiliki kurang daripada 5 orang kakitangan pula hanya akan menguatkuasakan penggajian RM1,500 tersebut pada 1 Januari 2023 kelak.