Artikel

Seramai 1.9 Juta Pekerja Berpendidikan Tinggi Di Malaysia – Tidak Miliki Kerjaya Setara Kemahiran

Sekiranya tahun 2020, memaparkan sejumlah 1.87 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia tidak mendapat pekerjaan setara kemahiran mereka – kini jumlah itu telah meningkat kepada 1.9 juta bagi 2021.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Statistik Tenaga Buruh 2021 ini jelas menunjukkan ketidaksepadanan terus berlaku pada pasaran ekonomi Malaysia.

Apabila 1.9 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia kini di bawah kategori pekerjaan separuh mahir dan kemahiran rendah.

Secara amnya makna ketidaksepadanan pekerjaan adalah situasi individu perlu menerima pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih rendah berbanding pencapaian pendidikan mereka. Dan ia diukur melalui indikator Guna Tenaga Tidak Penuh berkaitan Kemahiran.

Jika dilihat graf, ketidaksepadanan ini terus meningkat dari tahun-ke-tahun. bagi tahun 2021 telah memperlihatkan pertambahan sekitar 114,600 pekerja pendidikan tinggi dalam pekerjaan separuh mahir dan kemahiran rendah.

Aliran itu secara langsung turut meningkatkan paras kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kepada 38.7% bagi tahun 2021. Situasi ini jelas menunjukkan Malaysia masih berdepan kesukaran menawarkan peluang pekerjaan kepada buruh negara, setimpal dengan taraf pendidikan mereka.

Seterusnya pada aspek penduduk bekerja secara menyeluruh di Malaysia pula – telah memaparkan peningkatan. Setakat 2021, sekitar 15.06 juta penduduk bekerja dicatatkan negara.

Berdasarkan kategori taraf pekerjaan 2021, secara ketara menunjukkan kategori pekerja terus mendahului (78.5%), diikuti bekerja sendiri (14.8%), pekerja keluarga tanpa gaji (3.3%) dan majikan (3.4%).