Artikel

54% Pekerja Malaysia Akui Kadar Kebergantungan Internet Semakin Tinggi – Ketika Bekerja

Dorongan krisis kesihatan dan penerapan digitalisasi, kini telah membawa perubahan pada ekonomi dunia – termasuklah landskap di Malaysia.

Perubahan itu telah mempelbagaikan amalan pekerjaan di negara meliputi bekerja dari rumah (BDR), kekal di pejabat serta secara hibrid iaitu kedua-dua sekali. Melihat pada perbezaan cara bekerja ini, ia sekaligus meningkatkan kadar kebergantungan tenaga kerja Malaysia terhadap internet.

Tinjauan Cisco pada Indeks Jalur Lebar 2022 ini menunjukkan, 54% pekerja negara kini bergantung kepada internet untuk melangsungkan tugasan mereka secara dari rumah dan dalam perniagaan. Tindakan ini secara langsung mencadangkan Malaysia perlu meningkatkan kualiti capaian internet (81%) semasa bagi membantu pemain industri.

Tidak hanya itu, susulan perubahan amalan pekerjaan – sekitar 84% pekerja Malaysia didapati menggunakan internet secara aktif di rumah selama 4 jam dalam tempoh setiap hari.

Melihat pada kerancakkan itu, 67% responden Malaysia akui dengan akses internet ia tidak sekadar menjadi pemangkin utama kepada rakyat negara untuk meneroka peluang pekerjaan, tetapi turut meluaskan peluang rakyat dalam sektor pendidikan.

Setakat ini, pada data dunia – sekitar 3.4 bilion penduduk dijangka tidak akan memiliki akses internet dalam tempoh 10 tahun, dan situasi itu akan meningkatkan jurang digital global.

Maka adanya pemerkasaan infrastruktur dan perluasan jalur lebar internet di seluruh Malaysia, ini akan melonjakkan pendedahan rakyat negara terhadap pelbagai peluang dalam pasaran ekonomi serta memacu pertumbuhan digital.