Artikel

Nestlé Malaysia Papar Untung Bersih Lebih Tinggi – Catat RM205.18 Juta Bagi Suku Pertama

Nestlé Malaysia, pengeluar produk makanan gegasi dunia kini memaparkan peningkatan pada keuntungan bersih iaitu RM205.18 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022.

Ini lebih tinggi berbanding rekod tempoh yang sama pada tahun lalu, sekitar RM175.16 juta.

Keuntungan ini mengikut prestasi, dicapai berlandaskan sokongan jualan yang lebih tinggi dan peningkatan permintaan.

Walaupun syarikat kini berdepan kesan harga komoditi yang tinggi serta pengenaan Cukai Makmur di bawah Belanjawan 2022 yang menyaksikan pengenalan cukai khas ke atas pendapatan tahun kewangan 2022 syarikat – ia tidak menghalang lonjakan prestasi.

Selain untung bersih, rekod perolehan Nestlé bagi suku tahunan juga turut meningkat 16.9% kepada RM1.69 bilion – lebih tinggi berbanding rekod sebelumnya sekitar RM1.45 bilion.

Peningkatan itu dipacu berdasarkan pertumbuhan jualan domestik (14.9%) dan eksport (25.3%) yang terus melonjak secara beransur.