Artikel

Harga Jualan Mi Segera Korea Berupaya Naik – Susulan Sekatan Eksport Minyak Sawit Indonesia

Berikutan tindakan Indonesia menangguhkan seketika sesi eksport minyak sawit mereka mulai 28 April lalu untuk menstabilkan bekalan dan paras harga di pasaran tempatan – ini secara langsung memberi kesan kepada harga pasaran ramyeon atau mi segera Korea Selatan.

Buat pengetahuan umum, penggunaan minyak sawit digunapakai pada penghasilan makanan proses Korea Selatan seperti mi segera. Ia juga penting pada penghasilan kosmetik, produk pembersihan, serta makanan ringan.

Sebelum ini pada Oktober 2021 pasaran ramyeon telah mengalami kenaikan harga purata sekitar 11.9% – ini adalah paras kenaikan mendadak dalam tempoh hampir 13 tahun untuk pasaran Korea Selatan. Maka, jika tindakan Indonesia ini terus berlarutan ia akan memberi kesan kepada harga jualan pasaran di seluruh negara.

Setakat ini, Korea telah mengimport 56.4% bersamaan 341,802 tan minyak sawit dari Indonesia. Situasi sekatan ini secara jelas bakal menyukarkan pasaran makanan dunia.

Indonesia buat masa ini, masih tidak menyatakan sebarang pendirian berhubung isu penangguhan eksport tersebut. Menerusi tindakan itu, ia dilihat satu peluang yang baik buat Malaysia, untuk tampil menampung kekangan yang sedang berlaku.