Artikel

Lebih 36,800 Unit Rumah Siap Di Malaysia, Masih Tidak Terjual

Ternyata hartanah kediaman di Malaysia yang telah siap namun masih tidak terjual – terus meningkat sekitar 24.7%.

Ini bermakna, sebanyak 36,863 unit kediaman siap yang bernilai RM22.8 bilion setakat Disember 2021 – masih lagi tidak terjual dalam pasaran negara.

Mengikut tinjauan Pasaran Hartanah Tahunan 2021, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) ini antara unit kediaman yang paling tinggi tidak terjual adalah melibatkan unit Kondominium dan Pangsapuri – iaitu sebanyak 20,505 unit (55.6%), diikuti Teres dengan 7,389 unit tidak terjual.

Malah apa yang lebih menggusarkan adalah unit kediaman mewah siap yang tidak terjual. Di mana mencatatkan 30% daripada jumlah tersebut. Iaitu melebihi 11,000 unit rumah berharga RM500,00 hingga RM1 juta kini dicatatkan masih tidak terjual.

Meskipun begitu, menurut penyelidikan AmInvestment Bank pada laporan – pihaknya menjangkakan jumlah transasksi hartanah akan pulih secara berperingkat pada 2023. Ia akan didorong hasil sentimen pasaran yang lebih positif serta peningkatan permintaan berikutan penamatan sekatan dan pembukaan sempadan telah mula dilaksanakan.

Berdasarkan data itu juga, Selangor kekal ungguli pasaran kediaman siap tidak terjual paling tinggi di Malaysia. Sambil diikuti Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.