Artikel

Inflasi Makanan Kini Meningkat 4.0%, Jadi Penyumbang Utama Kenaikan – DOSM

Berikutan isu kekurangan bekalan, faktor cuaca, serta kenaikan harga makanan ternakan – ini secara langsung telah meningkatkan harga makanan mentah seperti syauran, daging dan ikan sejak beberapa bulan lalu.

Ia secara langsung memberi tekanan kepada inflasi makanan negara bagi Mac 2022 dan menjadi penyumbang kepada keseluruhan data Indeks Harga Pengguna dan kepada kenaikan inflasi negara.

Data itu dapat diperlihatkan pada tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi inflasi Malaysia Mac 2022 – ia kekal di paras 2.2%, dan didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol sekitar 4.0%.

Dalam masa yang sama, kos membabitkan bahagian hiasan, perkasasan dan penyelenggaraan isi rumah juga turut meningkat 3.0%. Diikuti restoran dan hotel (2.9%), barangan dan perkhidmatan (1.9%) serta perkhidmatan reakreasi dan kebudayaan (1.1%).

Manakala bagi prestasi IHP bagi suku pertama secara menyeluruh pula memaparkan peningkatan 2.2%, sedikit tinggi berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Sementara mengikut kategori inflasi Negeri pula, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan paras inflasi sekitar 2.9%, diikuti Terengganu dengan 2.4% inflasi. Bagi negeri lain pula masih di paras 2.2% dan ke bawah.