Artikel

Geran Kandungan Digital Kini Dibuka Sehingga 30 April – Sasar Tingkatkan Penerbitan Digital Malaysia

Seiring dengan usaha Malaysia ke arah digitalisasi – kini permohonan Geran Kandungan Digital (DCG) buat pencipta kandungan digital di negara telah dibuka.

Ini bermakna menerusi geran ini – ia membolehkan para pencipta kandungan digital untuk membangunkan kandungan baharu, memasarkan serta melesenkan harta intelek (IP) mereka merangkumi kandungan animasi, media interaktif dan permainan digital.

Pelaksanaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini secara jelas ingin memberi galakkan penuh kepada penerbitan digital negara.

Adanya inisiatif DCG ini, ia berpotensi menjadi pemangkin kepada kumpulan pencipta kandungan digital untuk kekal berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Setakat ini, MDEC telah meluluskan 55 projek bernilai lebih RM34.5 juta bagi membantu syarikat kandungan kreatif digital – bagi membiayai idea di fasa pembangunan dan memastikan idea tersebut relevan untuk pelaburan serta kebolehpasaran.

Untuk makluman, antara kandungan digital yang telah terlibat menerusi inisiatif ini – meliputi siri seperti Didi & Friends, Ejen Ali the Movie dan Astrology. Maka bagi perincian lanjut, para pencipta kandungan digital boleh merujuk pada pautan Geran Kandungan Digital 2022 MDEC sehingga 30 April ini.