Artikel

Sushi King Perluas Cawangan Berkonsepkan Kiosk – Bersama Peruntukan RM10 Juta

Sushi King, syarikat makanan yang menyajikan makanan Jepun di negara kini terus meluaskan jejak jenamanya – namun melalui penampilan konsep berbeza iaitu dengan 20 cawangan baharu kiosk Sushi King.

Menurut Texchem Resources Bhd, pengendali disebalik Sushi King – aturan merangkumi peruntukan RM10 juta bagi pertambahan cawangan ini adalah sebahagian usaha syarikat untuk meningkatkan semula prestasi setelah mengalami penurunan sebelum ini.

Adanya penampilan cawangan berkonsepkan kiosk ini, ia bakal membantu operasi syarikat membelanjakan perbelanjaan modal yang lebih berpatutan dan menjimatkan masa operasi. Tidak hanya kiosk, peruntukan RM10 juta ini turut merangkumi dana pertambahan cawangan restoran mereka.

Untuk makluman sebelum ini, Sushi King memiliki hampir 150 cawangan – namun setelah diselaraskan dan menutup cawangan yang tidak berprestasi di Malaysia dan Indonesia kini pihaknya memiliki 121 cawangan.

Dengan inisiatif memberi nafas baru pada konsep cawangan Sushi King, ia dijangka akan meningkatkan aktiviti pemasaran kepada jualan dan pengguna setia mereka. Selain menerapkan konsep operasi baharu, Texchem turut memperbaharui penggunaan akses dulang robot serta sistem pesanan sendiri kepada pengguna di restoran Sushi King.