Artikel

Netflix Hilang 200,000 Pelanggan Berbayar – Bagi Suku Pertama 2022

Netflix, medium penstriman dunia kini mengalami penurunan langganan – dengan kehilangan 200,000 pelanggan setakat suku pertama 2022 iaitu data awal Januari sehingga awal Mac lalu.

Situasi ini ternyata jauh meleset dari anggaran penyedia untuk mengalami peningkatan pelanggan sekitar 2.5 juta pengguna. Untuk makluman, ketika ini Netflix memiliki sekitar 221.6 juta pelanggan di seluruh dunia.

Meskipun paras pelanggan menurun, namun hasil suku pertama 2022 telah meningkat 10% kepada $7.87 bilion. Akan tetapi perolehan ini sedikit rendah berbanding ramalan Wall Street di paras $7.93 bilion.

Melihat pada prestasi syarikat, laporan Reuters menyatakan para pelabur memberi amaran kepada Netflix untuk terus berhati-hati dalam ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Ini kerana platform penstriman menurut tinjauan Trend Media Digital – ia bukanlah satu-satunya pilihan medium hiburan buat pengguna muda. Buat masa ini, generasi Z lebih terarah menghabiskan masa mereka untuk permainan video, serta menonton kandungan video pendek seperti media sosial berbanding menggunakan khidmat penstriman.