Tidak lama lagi, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri.
Untuk makluman, skim ini telah dilaksanakan sejak tahun 2000 lagi, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (dahulu Akta Kawalan Harga 1946).
Di bawah Skim ini, beberapa jenis barang keperluan dikenalpasti sebagai barang harga terkawal musim perayaan untuk ditetapkan harga maksimum di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit dalam suatu tempoh tertentu. Skim ini dilaksanakan di seluruh Malaysia dan harga yang ditetapkan adalah berbeza mengikut kawasan dan daerah.
Berdasarkan laporan awal, dijangka terdapat penambahan kawalan barang makanan akan berlaku. Bagaimanapun tidak diperincikan senarai kawalan harga barangan makanan yang terlibat.
Buat masa ini KPDNHEP masih dalam pemantauan dan penelitian sebelum mencapai satu paras harga yang setimpal untuk pengguna bagi senarai barangan. Dijangka dalam tempoh terdekat pengumuman itu akan dilaksanakan.
Untuk makluman, seperti tahun lalu – antara makanan yang terlibat di bawah skim ini adalah barangan mentah seperti ayam, ikan dan daging serta sayur.