Artikel

Kekerapan Penerbangan Sedia Dipertingkatkan, Atasi Isu Harga Tiket Naik – MOT

Pentadbiran negara ketika ini bersedia meluluskan permohonan syarikat untuk penambahan kekerapan penerbangan serta waktu operasi, bagi mengatasi isu kenaikan harga.

Makluman itu telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada hari ini (15 April), di mana pemantauan telah dijalankan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menunjukkan harga tambang penerbangan pada 30 April 2022 (tarikh perjalanan puncak bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri) telah meningkat berbanding purata harga tambang penerbangan pada tahun 2019.

Peningkatan ini disebabkan oleh lonjakan kos operasi terutamanya kenaikan harga bahan api jet, serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.

Maka untuk itu, MAVCOM, CAAM serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan, pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang.

Ketika ini CAAM telahpun meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan. Ini akan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan.

MOT menegaskan pihaknya sentiasa mencari penyelesaian terbaik buat pengguna dan akan sedaya upaya menurunkan tambang penerbangan dalam tempoh terdekat. Perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.