Susulan isu penarikan jualan beberapa jenis produk coklat Kinder di Eropah, Indonesia dan Singapura disebabkan isu bakteria Salmonella yang berlaku – ternyata produk Kinder Malaysia sama sekali tidak terlibat.
Penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini telah disemak melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan (FoSIM) Malaysia dari tahun 2021 sehingga data terkini.
Ia menunjukkan tiada sebarang kemasukan produk Kinder yang terlibat pada pasaran negara. Ini bermakna produk yang terlibat tidak dieksport ke Malaysia.
Mengikut makluman International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN) kebanyakkan produk Kinder ke Malaysia adalah dimport dari negara Poland, Itali, German, India dan beberapa lain.
Produk yang terlibat pada isu pencemaran di luar negara itu dilaporkan adalah Kinder Surprise, Kinder Mini Egg, Kinder Surprise Maxi 100g, Kinder Schokonbons dan Kinder Egg Hunt Kit.
Maka untuk pasaran Malaysia, para pengguna tidak perlu gusar berhubung isu pencemaran yang diperkatakan. KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas produk coklat Kinder, bagi kemasukan ke pasaran tempatan.
Bagi sebarang persoalan, orang awam boleh hubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau hubungi di pautan Sistem Pengurusan Aduan KKM dan bahagian Kualiti Makanan (BKKM) untuk penjelasan lanjut.