Adat pasang berturun naik, itulah apa yang sedang didepani sekitar 80,000 kumpulan pemandu teksi Malaysia yang terpaksa menggantung kunci kerjaya mereka, susulan persaingan tinggi bersama medium penghantaran baharu iaitu seru-pandu (e-hailing)
Mengikut laporan, kini dianggarkan hanya 40,000 pemandu teksi sahaja masih bertahan untuk melanjutkan khidmat mereka kepada orang awam.
Pada ketika ini, Gabungan Teksi Malaysia masih lagi mencari ruang untuk mengatasi isu jurang pasaran antara khidmat teksi dan seru-pandu bersama Kementerian Pengangkutan (MOT).
Walaupun permintaan kembali meningkat berikutan pembukaan sektor ekonomi secara menyeluruh dan terdapat sekitar 10,000 pemandu teksi telah berdaftar dengan aplikasi seru-pandu – namun risiko persaingan kekal tinggi.
Ini kerana, pengurangan tambang seru-pandu telah menjejaskan pertimbangan pengguna pada khidmat teksi negara.
Malah tindakan medium seru-pandu yang menetapkan kriteria penyertaan berasaskan usia kenderaan juga turut menafikan penyertaan beberapa kumpulan pemandu teksi.
Situasi itu tidak sekadar menyukarkan pemandu teksi tetapi turut menjejaskan pendapatan mereka. Untuk makluman, sebelum ini, jumlah keseluruhan pemandu teksi di negara mencecah sekitar 120,000 pekerja.