Artikel

Boost PayLater – Kini Membolehkan Pengguna Melanjutkan Bil Pascabayar Selama 30 Hari

Boost, penyedia dompet digital negara kini telah tampil menawarkan ciri Boost PayLater kepada para pengguna.

Apa yang menarik, penawaran Boost PayLater ini pada fasa awal – membolehkan pengguna melanjutkan tempoh pembayaran bil pascabayar serta menambah nilai. Akan tetapi setelah 30 hari, pengguna perlu melunaskan tanggungjawab mengikut aturan yang dipersetujui aplikasi.

Selain itu, Boost PayLater juga turut akan menyediakan pelan pembayaran secara ansuran kepada pengguna. Akses ini akan membolehkan pengguna membeli barangan terlebih dahulu dan kemudian melaksanakan pembayaran secara atas talian atau membeli secara fizikal dan mengimbas kod QR untuk tindakan pembayaran mengikut pelan Boost PayLater.

Bagaimanapun buat masa ini, bagi penggunaan pelan pembayaran 30 hari – ia hanya tersedia untuk melanjutkan pembayaran bagi bil pascabayar dan tambah nilai prabayar sahaja. Akses bagi khidmat lain dimaklumkan akan menyusul tidak lama lagi.

Seterusnya untuk memiliki akses sedemikian, ini beberapa kriteria yang telah digariskan oleh Boost kepada pengguna;

BoostPayLater Pelan Ansuran

  • Warganegara/ warga asing yang menetap secara sah
  • Berusia 21 tahun hingga 60 tahun
  • Pengguna aplikasi Boost premium

BoostPayLater Pelan 30 Hari

  • Warganegara memiliki transaksi aktif selama 3 bulan bersama Boost
  • Warga asing yang menetap secara sah, memiliki transaksi kad kredit aktif selama 6 bulan
  • Berusia 21 tahun hingga 60 tahun
  • Pengguna aplikasi Boost premium (dengan rekod kredit yang baik)

Pada penjelasan laman rasmi juga, Boost memaklumkan penawaran ciri ini adalah bertepatan patuh syariah, memiliki 0% faedah dan memiliki kelulusan permohonan tanpa penjamin. Sebarang makluman lanjut, pengguna boleh layari pautan Boost PayLater untuk perincian seterusnya.


Melihat pada percambahan “Bayar Kemudian” yang semakin rancak ini, ia secara langsung meningkatkan kuasa beli pengguna, akan tetapi perlu diingat – pengetahuan berhubung pengurusan kewangan wajib diutamakan. Peringatan ini penting supaya pengguna dapat menjamin kesejahteraan status dana mereka di masa hadapan kelak.