Ternyata memiliki paras pendapatan di bawah RM4,000 bukanlah suatu had gaji yang boleh dibanggakan rakyat negara.
Ini kerana tinjauan Bank Dunia semalam (5 April) dapati lebih 60% isi rumah negara yang tergolong dalam kumpulan gaji itu masih mengalami kesukaran untuk menampung keperluan asas mereka.
Lebih meruntunkan, hasil dapatan Kaji Selidik Telefon Frekuensi Tinggi Bank Dunia (HiFy) 2021 ini memaparkan sekitar 16% rakyat negara tidak memiliki simpanan untuk isu kecemasan. Sementara satu per empat pula hanya memiliki simpanan sekitar 3 bulan sahaja.
Sudah pasti, situasi ini didorong akan beberapa aspek seperti ketirisan ekonomi global, inflasi, penggunaan simpanan ketika sekatan pandemik, sektor pekerjaan negara terjejas dan krisis banjir.
Namun Bank Dunia kekal optimis Malaysia berupaya menyeimbangkan kelompongan ini apabila kadar pengangguran negara mula menunjukkan penurunan dan kini di paras 4.2%.
Selain itu, pentadbiran negara juga disarankan mempelbagaikan pelindungan sosial kepada rakyat Malaysia – antaranya terus melaksanakan bantuan dana bersasar bagi merancakkan aliran perbelanjaan secara konsisten.
Manakala bagi sektor pekerjaan, tahap kemahiran perlu diperkasakan negara supaya ia seiring dengan pemerkasaan teknologi negara. Percambahan pemain industri yang versatil akan menjadi kelebihan buat sektor ekonomi negara.
Seterusnya pelaksanaan pembaharuan dasar berkaitan perdagangan barangan melibatkan sektor perkhidmatan wajar disegerakan. Tindakan ini perlu dimanfaatkan Malaysia susulan peralihan konsep perdagangan secara digital sedang berlaku. Melalui usaha itu, ia akan membuka lebih banyak peluang pelaburan pada Malaysia.