Artikel

Indonesia Akan Kenakan Cukai Ke Atas Perolehan Kripto, Mulai Mei Ini

Kepesatan arena kripto yang semakin melonjak pada pasaran Asia Tenggara, kini memperlihatkan sekitar 11 juta peserta pada pasaran. Sekaligus membawa kepada nilai urus-niaga mencapai $60 bilion pada 2021.

Maka untuk memastikan kestabilan pada pasaran ini, bermula 1 Mei – Indonesia merancang akan mengenakan cukai pada transaksi serta perolehan aset kripto ke atas pengguna awamnya.

Mengikut laporan Bloomberg, Kementerian Kewangan Indonesia telah menetapkan cukai nilai tambah sekitar 0.1% ke atas pembelian aset kripto. Sementara pendapatan dan keuntungan modal dalam urus-niaga kripto juga akan dikenakan cukai pendapatan akhir sebanyak 0.1%.

Tidak hanya itu, mana-mana pihak yang berdagang pada platform yang tidak sah oleh pengawalseliaan tempatan akan berdepan pengenaan cukai pendapatan lebih tinggi iaitu 0.2%.

Berdasarkan perancangan juga, difahamkan aset digital ini akan dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Indonesia sebagai alat komoditi dan tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai tender yang sah.