Lambakan bekalan pelitup muka, sememangnya tidak menghairankan. Ini kerana penularan wabak COVID-19 telah menuntut keperluan pemakaian pelitup dalam kalangan pengguna.
Namun apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah tahap keselamatan serta kualiti penghasilannya, dilihat sebahagian produk tidak menepati syarat piawaian perubatan.
Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada hari ini (5 April) telah mewartakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Di mana, ia mewajibkan pengilang serta pengimport pelitup muka bukan perubatan untuk memohon perakuan dan penandaan MS SIRIM dari SIRIM QAS International Sdn Bhd.
Tanda dagang MS SIRIM itu akan dimuatkan pada permukaan kotak atau bungkusan pelitup muka dan aturan ini berkuat kuasa mulai 4 Julai kelak.
Kegagalan berbuat demikian, bagi mana-mana syarikat akan berdepan denda tidak lebihi RM200,000. Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.