Artikel

Data Peribadi 38 Juta Pengguna MySejahtera, Tidak Tergadai – Khairy Jamaluddin

Ternyata di awal pembangunan aplikasi kesihatan Malaysia iaitu MySejahtera adalah bersifat jangka masa pendek dan menyasarkan hanya memiliki sekitar 200,000 pengguna sahaja. Akan tetapi, susulan penularan COVID-19 yang semakin berpanjangan di negara – kerajaan Malaysia mula meluaskan penambahbaikan pada aplikasi.

Kini, aplikasi tersebut telah dimuat-turun sehingga jumlah 38 juta pengguna telah dicatatkan.

Memahami kegusaran ahli Dewan Negara, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin beri penegasan bahawa data peribadi pengguna MySejahtera adalah milik mutlak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Menurutnya tiada sebarang langkah mengeksploitasi data tersebut berlaku kepada mana-mana pihak swasta.

Antara intipati yang diperjelaskan, sehingga kini kerajaan tidak membayar sebarang amaun pada pihak swasta yang terlibat. Isu pembayaran ini masih lagi diperingkat perbincangan bersama bahagaian perbendaharaan negara.

Maka dakwaan berhubung pembayaran berjumlah sekitar RM338.6 juta itu, sama sekali tidak benar. Setakat ini, hanya pembayaran sekitar RM10.4 juta sahaja telah dilakukan kepada NACSA iaitu Agensi Kebangsaan Sekuriti Siber kepada KPISoft. Tujuan pembayaran adalah untuk menampung kos perkhidmatan yang diberikan oleh Google API dan penghantaran mesej kepada pengguna.

Khairy secara berterusan memberi jaminan segala data di dalam pangkalan adalah terpelihara dan hanya tujuan kawalan pandemik COVID-19 untuk KKM sahaja. 

Manakala berhubung pengendalian syarikat Entomo dan MySJ dilaporkan adalah sama, terdapat beberapa faktor dirungkaikan. Di mana firma Entomo secara jelas majoriti pemegang sahamnya adalah rakyat Malaysia. Namun tindakan ia berpangkalan di Singapura adalah atas faktor perolehan pelabur yang lebih mudah diperolehi berbanding di negara.

Akan tetapi setelah mendapat pelbagai maklum-balas, syarikat MYSJ dibangunkan bersama Entomo untuk memberi tanggungjawab lesen dalam pengendalian aplikasi milik KKM ini. Tindakan ini telah menimbulkan kekeliruan dalam pemahaman orang awam.

Pada pengakhiran sidang itu, Khairy berterusan menzahirkan segala perkongsian data MySejahtera pada sidang DN hari ini adalah secara telus tanpa sebarang data terselindung. KKM bersama pihak terlibat sentiasa terbuka untuk berkongsikan maklumat bersama ahli Dewan Negara dari semasa ke semasa.