Artikel

76% Isi Rumah Malaysia – Hanya Mampu Miliki Kediaman Berharga Sehingga RM300,000

Tawaran pasaran kediaman negara dilihat tidak seimbang dengan kemampuan rakyat negara. Apabila didapati 76% isi rumah Malaysia memiliki pendapatan sekitar atau kurang daripada RM8,333.

Ini bermakna, kumpulan isi rumah tersebut hanya berpotensi memiliki rumah berharga sehingga RM300,000.

Akan tetapi mengikut tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua BNM hari ini (30 Mac), hanya 36% daripada unit perumahan yang baru dilancarkan adalah bernilai kurang daripada RM300,000.

Situasi ini diperhatikan tidak seimbang dengan kemampuan isi rumah negara dan ia secara langsung meningkatkan lagi risiko jumlah rumah yang tidak terjual di negara.

Mengikut kategori negeri, Melaka tampil selaku negeri tunggal yang menawarkan harga rumah mampu milik pada nisbah harga rumah kepada pendapatan (3.0 ke bawah).

Sementara negeri lain pula diklasifikasikan Tidak Mampu Milik (Johor, Perak, Sarawak, Sabah dan Kelantan), dan selebihnya adalah negeri Sangat Tidak Mampu Milik.

Berdasarkan data harga kediaman untuk peringkat nasional – harga rumah Malaysia adalah sangat tidak mampu milik dengan 4.7 kali pada tahun 2020. Ini lebih tinggi berbanding 2019.

Lebih meruntunkan, tahap kemampuan rakyat untuk memiliki kediaman turut dipengaruhi aspek pendapatan yang tidak mencukupi serta paras hutang yang semakin tinggi.