Artikel

Lapangan Terbang Asia-Pasifik Disasar Rugi $27 Bilion – Penumpang Masih Kurang Yakin

Ternyata walaupun perjalanan penerbangan domestik dan antarabangsa kembali di buka buat penggunaan orang awam – namun ia tidak menjamin kestabilan keuntungan buat operasi lapangan terbang.

Ini kerana, masih ramai pengguna yang tidak yakin akan situasi semasa. Ia sekaligus membawa kepada jangkaan bahawa operasi lapangan terbang di negara Asia-Pasifik termasuk Malaysia akan berdepan kerugian sekitar AS$27 bilion pada tahun ini, 2022.

Pemerhatian itu dilaksanakan oleh Persatuan Peruncitan Pengembaraan Asia Pasifik (APTRA) bersama Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa Asia Pasifik (ACI).

Di mana, keperluan meningkatkan segmen pemeriksaan dan aturan kesihatan dilihat berupaya mengembalikan keyakinan penumpang pada paras asal.

Untuk makluman, trafik penumpang bagi Asia-Pasifik dijangka akan menurun 49% pada tahun 2022. Sebelum ini, pada 2021 kumpulan negara ini telah mengalami penurunan trafik penumpang sekitar 63%.

Maka pendekatan yang lebih efektif wajar dilaksanakan oleh setiap kerajaan negara merangkumi majlis keselamatan, sistem kesihatan dan penguatkuasa, untuk membantu mencapai keuntungan yang baik pada ekonomi penerbangan negara.

Buat pengetahuan umum, prestasi penerbangan perlu diimbangi demi memastikan industri pelancongan Malaysia dapat mencapai semula perolehan lebihi RM86 bilion seperti tahun 2019, iaitu sebelum wujudnya penularan COVID-19.