Artikel

Kos Barangan Pengeluar Meningkat 9.7%

Mengikut Indeks Harga Pengeluar (IHPR), kos barangan yang diukur di pintu kilang kini memaparkan peningkatan 9.7% pada Februari 2022. Ini lebih tinggi berbanding data pada Januari 2022 yang mencatatkan paras kos 9.2%.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melihat kenaikan tersebut didorong atas faktor harga komoditi utama yang lebih tinggi, di pacu indeks perlombongan yang meningkat 23.3%.

Tidak hanya itu indeks pertanian, perhutanan dan perikanan turut mencatatkan kenaikkan 17.7%, di mana didorong indeks penanaman tanaman kekal 23.3%, perikanan 9.4% serta pengeluaran ternakan 4.8%.

Antara yang turut meningkat juga adalah indeks bahan mentah yang diproseskan kepada 17.7% – ini merangkumi indeks bahan bukan makanan, bahan makan (20.4%) dan makanan untuk binatang (3.7%).

Melihat pada peningkatan indeks pengeluar ini, selain Malaysia beberapa negara lain turut berdepan kenaikan yang sama. Antaranya adalah Jepun memaparkan peningkatan 9.3% pada kos pengeluar dan United Kingdom pula mencatatkan kenaikan 10.1% pada IHPR mereka.