Artikel

Hampir 5,000 Tan Metrik Makanan Dibuang Setiap Hari – Sepanjang Ramadan

Sikap membazir makanan dalam kalangan rakyat negara seharusnya dihentikan dengan segera. Tahukah pembaca kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan yang berupaya memberi manfaat makanan kepada 3 juta rakyat Malaysia telah dilupuskan negara setiap hari.

Kenyataan ini telah lantang disuarakan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada mesyuarat pertama tahun kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 hari ini (28 Mac).

Difahamkan pada makluman itu, sekitar 4,080 tan metrik adalah makanan yang dibazirkan dan jumlah pembaziran itu terus meningkat 10% kepada 4,488 tan metrik pada bulan Ramadan.

Situasi ini secara jelas, kurangnya pendidikan dalam diri rakyat berhubung pengawalan pembaziran makanan. Maka, kerajaan negeri dititah untuk menerapkan pelbagai kaedah efektif bagi membasmi amalan ini, antaranya memberi peringatan kepada premis makanan atau pengendali majlis agar tidak menyediakan lebihan makanan.

Seperti yang umum sedari, sepanjang Ramadan – selain jualan makanan bazar berlangsung, makanan percuma turut disediakan pada premis-premis tertentu seperti masjid, surau atau agensi tertentu.

Tindakan pembaziran ini sekaligus membawa kerugian kepada ekonomi negara, khususnya ketika sedang berdepan kenaikan kos dan ini akan membawa kepada peningkatan harga makanan.

Maka semua pihak menurut Baginda wajar berganding bahu untuk membendung kerugian jumlah pembaziran makanan tersebut terutama persiapan bagi Ramadan kali ini.