Artikel

AirAsia Super App Lancar SUPER+, Pelan Langganan Bernilai RM639

Bagi merancakkan lagi ekosistem ekonomi pelancongan, airasia Super App kini tampil dengan pelan langganan baharu terhad iaitu SUPER+ buat seluruh pengguna aktifnya bermula hari ini (28 Mac).

Menerusi pelan langganan bernilai RM639 ini, para pengguna berpeluang menerima faedah seperti penebusan penerbangan tanpa had merangkumi destinasi domestik dan antarabangsa (melibatkan kod penerbangan AK, FD, QZ dan Z2), menerima penghantaran percuma tanpa had bagi pesanan airasia food dilokasi terlibat dan memiliki perlindungan Insurans sebelum Berlepas COVID-19 yang boleh dituntut dalam tempoh 7 hari sebelum berlepas.

Apa yang menarik, melalui langganan ini pelanggan boleh menebus penerbangan dari 28 Mac 2022 hingga 27 Mac 2023 untuk tempoh perjalanan antara 11 April 2022 dan 10 April 2023.

Pelanggan juga dapat menikmati faedah yang lebih banyak daripada seluruh ekosistem airasia termasuk diskaun untuk airasia ride, airasia xpress, SNAP, hotel dan banyak lagi.

Penawaran pelan ini hanya terhad kepada 200,000 langganan sahaja dan tidak hanya di Malaysia, tetapi turut tersedia di Thailand pada harga THB4,999, Indonesia dengan IDR2,300.000 dan Filipina PHP6,599.

Buat pengetahuan umum, pelan Super+ telah mula ditawarkan mulai hari ini, 28 Mac sehingga 2 April 2022 kelak.