Artikel

92% CEO Malaysia Yakin Dengan Prospek Ekonomi Dunia 2022

Ternyata kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia tampil antara negara yang yakin akan pertumbuhan ekonomi global, berbanding CEO negara Asia Pasifik yang lain.

Tinjauan PwC mendapati, laporan Kaji Selidik CEO Global Tahunan memperlihatkan 92% CEO Malaysia yakin akan aliran ekonomi negara. Ini lebih tinggi berbanding paras peratusan Asia-Pasifik iaitu 76% sahaja.

Keyakinan CEO negara dilihat, didorong hasil kejayaan pengagihan vaksinasi, penurunan penularan kes pada suku keempat 2021 serta lonjakan permintaan berhubung pembuatan dan eksport dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Meskipun perolehan tinjauan merangkumi 4,446 CEO global dan tidak meliputi data penularan varian COVID-19 baharu – tetapi kewajaran laporan masih lagi relevan mengikut pemerhatian PwC.

Susulan sikap optimis yang dipaparkan CEO negara, PwC menjangkakan pelbagai alternatif baharu akan diterapkan ke dalam operasi syarikat. Bagi memastikan produktiviti, serta kemahiran petugas dapat dipertingkatkan untuk selari dengan matlamat ekonomi Malaysia.

Walaupun kekal positif akan pertumbuhan negara, majikan Malaysia kekal mengamalkan sikap berhati-hati akan situasi semasa dan segala perubahan operasi masih tertakluk kepada arahan pentadbiran negara.