Artikel

BNM Laksana MYOR-i – Sasar Rangsang Inovasi Kewangan Patuh Syariah

Melihat pada peningkatan pertumbuhan produk kewangan Islam, Bank Negara Malaysia (BNM) kini mula melaksanakan MYOR-i, iaitu Kadar Semalan Islam Malaysia bagi merangsang inoasi produk kewangan patuh syariah.

Di mana MYOR-i akan menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Islamic Reference Rate, KLIRR), yang akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

Usaha ini secara langsung akan mengukuhkan ekosistem patuh Syariah negara kepada lebih holistik serta meningkatkan amalan dan pasaran yang lebih baik.

Buat pengetahuan umum, MYOR-i merupakan kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi yang pertama di dunia. Kadar ini dibangunkan menurut Prinsip untuk Penanda Aras Kewangan. Dan ia telah mendapat pengesahan status patuh Syariah di bawah Majlis Penasihat Shariah (MPS) BNM.

Pada usaha membangunkan MYOR-i, BNM memaklumkan telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) dan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Pasaran Islam (Islamic Market Technical and Development Committee, IMTDC) AIBIM-FMAM.

Ini adalah perincian lanjut berhubung pemahaman MYOR-i;

  • MYOR-i ditadbir dan dikira oleh BNM. MYOR-i merupakan kadar pulangan purata berwajaran jumlah (volume-weighted average rate of return) bagi urus niaga Ringgit semalaman patuh Syariah antara bank tanpa cagaran, termasuk operasi monetari semalaman Islam BNM
  • MYOR-i pada masa ini adalah berasaskan instrumen Murabahah Komoditi. Instrumen patuh Syariah yang baharu boleh dimasukkan pada masa hadapan
  • MYOR-i untuk mana-mana hari bekerja di Kuala Lumpur akan diterbitkan pada pukul 12 tengah hari pada hari bekerja berikutnya melalui laman sesawang BNM
  • BNM akan melakukan penilaian berkala terhadap MYOR-i bagi memastikan MYOR-i terus mantap dan mewakili keadaan dalam pasaran asas

Secara terus, penubuhan MYOR-i sebagai kadar penanda aras Islam akan menjadi pemangkin dalam memacu inovasi produk kewangan Islam dan mewujudkan ketelusan bagi peserta pasaran untuk berunding dan menyeragamkan kontrak kewangan mereka, seterusnya mencapai penetapan harga yang cekap merentas semua instrumen kewangan.