Artikel

BNM Selesai Prototaip Mata Wang Digital Bank Pusat

Di bawah Projek Dunbar – Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank kini mengumumkan penyempurnaan versi prototaip kepelbagaian mata wang digital bank pusat (mCBDC).

Pelaksanaan yang diterajui oleh Singapura ini secara langsung membawa kepada tindakan memudahkan transaksi rentas sempadan secara terus antara institusi yang menggunakan mata wang yang berbeza, dan berpotensi mengurangkan kos serta meningkatkan kepantasan transaksi.

Melihat pada kelebihan ini, BNM turut berhasrat untuk memanfaatkan dan meneruskan penelitian penerapan CBDC ini pada penggunaan lain.

Selain itu, melalui pelaksanaan projek ini juga – keempat negara turut mengekalkan sebarang kawalan peraturan terhadap bidang kuasa dan mata wang, masih lagi tertakluk di bawah aturan bank pusat masing-masing.

Melalui usahasama ini, BNM melihat ia membawa kepada kebaikan dalam perkongsian infrastruktur CBDC secara bersama. Ia sekaligus membantu perbankan negara meningkatkan kecekapan dalam pengaturan transaksi antarabangsa menerusi CBDC.