Artikel

Pelaksanaan Semula GST Masih Dikaji – Tengku Zafrul

Kerajaan Malaysia buat masa ini, masih lagi di fasa meneliti dan mengkaji kesesuaian melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas ekonomi negara.

Tidak hanya GST, bahkan pelaksanaan model-model cukai kepenggunaan yang lain turut sedang diteliti.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul pada jawapan lisan Parlimen 21 Mac, tindakan itu perlu dilakukan sewajarnya dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuklah kelemahan sisten cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada bersama sistem GST yang telah dilaksanakan pada tahun 2015.

Proses kajian ini juga dijelaskan merangkumi pemerhatian kesan sesebuah sistem cukai ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang dan keupayaannya dalam menangani aktiviti ekonomi gelap.

Tengku Zafrul melihat, sebarang pembaharuan berkaitan cukai perlulah bersifat mudah ditadbir, tidak meningkatkan kos perniagaan serta dapat mengukuhkan kewangan Malaysia.

Selain itu, semua pihak juga perlu sedar akan situasi semasa ekonomi negara dan dunia. Sebarang pelaksanaan cukai baharu memerlukan ketersediaan ekonomi sesebuah negara, melibatkan kerajaan serta pembayar cukai iaitu rakyat Malaysia.

Setakat ini, kutipan hasil cukai SST bagi 2020 mencatatkan jumlah RM25.25 bilion manakala jumlah cukai SST bagi 2021 RM25.48 bilion.