Artikel

Tempoh Cuti Bersalin Kini Dilanjutkan 98 Hari, Sementara Cuti Paterniti Pula 7 Hari

Sidang Parlimen semalam (21 Mac) telah mencapai sepakat menerusi undian suara berhubung lanjutan cuti bersalin dan cuti paterniti di bawah pindaan Akta Kerja 1955.

Parlimen telah meluluskan pindaan tersebut seiring dengan cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Untuk makluman, di bawah konvensyen 183 ini, kerajaan perlu beri jaminan cuti bersalin berbayar selama 14 minggu kepada petugas wanita.

Selain memberi penekanan kepada keperluan cuti bersalin, Dewan Rakyat turut meluluskan pindaan akta pada cuti paterniti berbayar selama 7 hari.

Penguatkuasaan itu telah mula dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia pada 15 Mac baru-baru ini. Buat pengetahuan umum, sebelum ini cuti paterniti hanya merangkumi 3 hari cuti berbayar sahaja dan hanya petugas awam sahaja menikmati faedah tersebut.

Kini menerusi pindaan tersebut, menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM) semua petugas lelaki di dalam sektor awam dan swasta dapat memiliki faedah yang sama.

KSM pada sidang tersebut turut memperincikan setiap 2 tahun, kerajaan akan menyemak semula akta sedia ada dan memperbaiki kelemahan demi kepentingan pekerja negara.

Bagi penjelasan lanjut, cuti paterniti ini hanya tertakluk kepada;

  • Pekerja lelaki yang telah berkahwin
  • Bekerja selama 12 bulan dengan majikan yang sama
  • Memaklumkan permohonan cuti 30 hari sebelum isteri bersalin
  • Cuti boleh diambil bermula tarikh isteri bersalin