Artikel

Sekadar 4.7 Juta Pekerja Malaysia Sahaja Dilaporkan – Dilindungi Akta Kerja 1955

Akta Kerja 1955, kini dicadangkan untuk disemak semula – susulan ketidakseimbangannya dalam melindungi hak pekerja secara menyeluruh.

Ini kerana manfaat di bawah rang undang-undang Akta 265 ini diperhatikan tidak meliputi kebajikan ke atas semua aras pekerja. Buat pengetahuan umum, akta ini adalah akta persekutuan dan ia dikendali oleh Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan ia hanya terpakai di Semenanjung sahaja.

Antara intipatinya;

  • Pekerja yang menerima upah gaji tidak melebihi RM2,000
  • Pekerja menerima gaji lebih RM2,000 tetapi tersenarai dalam kategori pekerjaan seperti buruh kasar, terlibat dengan kenderaan jentera, penyeliaan, perkapalan dan kakitangan domestik
  • Pekerja separuh masa – iaitu bertugas tidak melebihi 70% dari masa pekerja tetap

Melihat pada objektif akta tersebut, mengikut laporan – ia secara langsung memaklumkan pekerja yang menerima gaji lebihi RM2,000 dan tidak terlibat dengan kategori pekerjaan yang disenaraikan, sama sekali tidak dilindungi oleh pindaan Akta Pekerjaan tersebut.

Ia bermakna, potensi jumlah pekerja yang akan dikecuali daripada perlindungan akta itu akan semakin meningkat.

Lebih memeritkan, dianggarkan sekitar 4.7 juta pekerja Malaysia sahaja dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 ini – berbanding jumlah keseluruhan 9.4 juta penerima gaji di negara, mengikut data DOSM 2020.

Anggaran itu disimpulkan adalah mengikut paras pendapatan pertengahan individu bekerja di Malaysia ialah RM2,062 pada data 2020.