Artikel

Kerajaan Kekal Model Penyedia Borong Tunggal Untuk 5G Di Malaysia – DNB Dibawah Kawal-Selia KKMM

Kerajaan hari ini telah putuskan yang mana pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia akan dikekalkan secara Rangkaian Borong Tunggal, namun dengan beberapa perubahan implementasinya.

Dengan kaedah ini, firma DNB (Digital Nasional Berhad) akan secara eksklusif menguruskan spektrum dan infrastruktur untuk rangkaian 5G – sekaligus memastikan rangkaian 5G dibangunkan dan dilaksanakan dengan pantas, disamping memastikan kosnya adalah rendah.

Pada masa yang sama, kerajaan juga mengubah struktur pemilikan saham DNB dengan membukanya kepada syarikat-syarikat telekomunikasi. Sebanyak 30% pegangan akan dimiliki Kementerian Kewangan, sementara baki 70% akan ditawarkan kepada syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Digi, Celcom, U Mobile dan lain-lain.

Akhir sekali, kerajaan juga kini memutuskan DNB akan diletakkan dibawah kawal-selia KKMM.

Pada hari ini, rangkaian 5G telah ditawarkan di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan juga Putrajaya. Dengan pengumuman ini, kita akan dapat melihat ia terus diperluaskan ke bandar-bandar lain dengan lebih pantas lagi – dan mencapai 80% liputan menjelang 2024 kelak.