Artikel

Capital A Tidak Dapat Penuhi Syarat Perolehan RM500 Juta Pinjaman Danajamin

Pengasas Capital A, Tan Sri Tony Fernandes bersama Datuk Kamarudin Meranun kini dimaklumkan enggan tampil sebagai penjamin bagi perolehan pembiayaan sehingga RM500 juta di bawah Danajamin Nasional Berhad.

Tindakan itu secara langsung, tidak membolehkan perolehan dana tersebut kepada Capital A.

Menurut makluman Bursa Malaysia, lembaga pengarah dan pengurusan Capital A tidak akan meneruskan perolehan pembiayaan tersebut susulan tidak dapat memenuhi syarat tertentu yang digariskan oleh Danajamin.

Mengikut laporan, beberapa jaminan bersama diperlukan Danajamin – antaranya mengemukakan pelan penyusunan semula syarikat penerbangan mereka dan mendapatkan kelulusan dari Bursa Malaysia Securities untuk menambah-baik ekuiti pemegang saham negatifnya yang disatukan agar berada di atas RM40 juta dan 25% daripada modal saham atau untuk mendapatkan lanjutan masa bagi menyediakan pelan regulasi agar bertepatan dengan fasiliti pembiayaan.

Akan tetapi syarat tersebut tidak dapat dipenuhi.

Buat pengetahuan umum, Tony Fernandes bersama Datuk Kamarudin menguasai kira-kira 24.64% pegangan dalam Capital A melalui Tune Air Sdn Bhd (12.41%) dan Tune Live Sdn Bhd (12.23%).

Bagi perincian lanjut Capital A, yang dahulu dikenali sebagai AirAsia Group telah menerima kelulusan Danajamin Nasional Berhad untuk 80% pinjaman bagi pembiayaan sehingga RM500 juta. Pinjaman tersebut diluluskan di bawah kemudahan pembiayaan bersindiket dengan jaminan Danajamin melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) – iaitu sebuah entiti milik penuh Kementerian Kewangan negara (MoF).

Menerusi kelulusan ini ia jelas memaparkan sokongan kerajaan kepada AirAsia untuk meneruskan perkhidmatan mereka, akan tetapi situasi yang berbeza sedang berlaku.