Artikel

Kos Pembiayaan DNB, Tidak Melibatkan Sebarang Dana Kerajaan – MOF

Pentadbiran Malaysia hari ini menjelaskan tiada sebarang jaminan atau pembiayaan dilakukan kepada Digital Nasional Berhad (DNB), sejak ia diwujudkan pada tahun 2021.

Menurut kenyataan lisan Parlimen Kementerian Kewangan (MOF), pembiayaan DNB adalah diperolehi melalui institusi kewangan seperti bank-bank dan ia akan dibayar semula melalui hasil jualan yang dijana daripada penjualan kapasiti borong rangkaian 5G.

Setakat penghujung Januari 2022 – pembiayaan komersial yang diperolehi DNB kini berjumlah RM1.7 bilion, sementara jumlah yang telah dibelanjakan pula merangkumi RM544 juta.

Perbelanjaan itu meliputi aspek infrastruktur rangkaian, perkakasan rangkaian dan modal kerja.

Buat pengetahuan umum – sehingga 15 Disember 2021, rangkaian 5G mula tersedia di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya. Di mana 500 tapak telah mula diintegrasikan setakat 9 Januari 2022.

Sementara 3,500 tapak lagi akan disasarkan meliputi Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menjelang penghujung tahun ini, 2022.

Seperti yang umum ketahui DNB ialah anak syarikat Kementerian Kewangan (diperbadankan) dan telah diberi peranan menjadi pihak neutral dalam membangunkan rangkaian 5G di seluruh Malaysia dan dijangka akan mula menjana pendapatan mulai tahun 2025.