Artikel

Malaysia Dijangka Tampung Jumlah Subsidi Petrol Lebih Tinggi – RM2.5 Bilion Sebulan

Jika harga minyak mentah dunia terus melebihi paras AS$100 setong, situasi itu berkemungkinan akan meningkatkan jumlah subsidi negara pada tahun ini – sehingga paras RM28 bilion.

Secara ketara, ini lebih tinggi berbanding RM11 bilion subsidi yang dicatatkan pada tahun 2021.

Buat pengetahuan umum, peningkatan itu telah mula diperlihatkan pada tampungan subsidi berkaitan petrol, diesel dan LPG Januari tahun ini. Apabila peningkatan subsidi setakat Januari 2022 telah mencapai lebih RM2 bilion.

Ia naik 10 kali ganda berbanding data Januari 2021. Maka Kementerian Kewangan (MOF) pada makluman Parlimen kini menjangkakan – sekiranya harga minyak dunia terus melonjak, tampungan subsidi negara untuk petrol, diesel dan LPG akan mencapai lebih RM2.5 bilion sebulan.

Menurut Tengku Zafrul – setakat ini pengguna diberi ruang membayar RM2.05 seliter untuk minyak RON95, sedangkan kos sebenar adalah RM3.70 seliter.

Ini bermakna setiap pengisian minyak sekitar 49 liter (RM100), kerajaan sedang menampung 45% (RM81) untuk kemudahan pengguna. Buat masa ini tiada perubahan untuk usaha itu, pihak MOF masih meneliti pendekatan subsidi terbaik, khususnya untuk golongan pendapatan rendah negara.