Artikel

Bank Melalui Perintah Hiwalah – Boleh Bekukan Akaun Suami, Dan Salur Tuntutan Kepada Isteri

Bersempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac (semalam), Perdana Menteri Ismail Sabri memaklumkan penindasan ke atas kumpulan isteri berhubung isu tuntutan nafkah, kini boleh diatasi dengan perintah Hiwalah.

Putrajaya telah memperkenalkan perintah ini sejak November tahun lalu – ia membolehkan pihak bank melakukan sekatan ke atas akaun suami (atas perintah mahkamah) yang gagal memenuhi tuntutan isteri.

Ini bermakna bank boleh menyalurkan dana tuntutan akaun suami yang dibekukan itu kepada pihak isteri sekiranya terdapat tuntutan di mahkamah. Buat pengetahuan umum, perintah ini merangkumi tuntutan pemberian nafkah dan mut’ah.

Hiwalah membawa erti pemindahan hutang dari Penghutang Penghakiman kepada Pihak Ketiga iaitu institusi kewangan dan seterusnya kepada Pemiutang Penghakiman.

Untuk makluman pelaksanaan ini telah dilakukan setelah pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan digazetkan pada 10 Februari 2021, tahun lalu.

Selari dengan tindakan itu, PM Ismail kini telah mengumumkan 6 inisiatif baharu untuk memperkasakan wanita Malaysia, antaranya adalah perkasakan institusi Hakam – memudahkan dan mempercepatkan proses penceraian dalam Islam;

Adanya pelaksanaan perundangan ini, ia akan menjamin hak kebajikan seluruh wanita yang berstatus isteri di Malaysia.