Artikel

Peniaga Bazar Ramadan Subang Jaya – Wajib Sedia Transaksi Nirtunai Sepenuhnya

Kurang dari 30 hari sahaja lagi, ketibaan bulan Ramadan akan disambut oleh pengguna beragama Islam – ini secara langsung akan memperlihatkan operasi bazar Ramadan di seluruh negara dilaksanakan.

Bagi persediaan itu berdasarkan laporan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kini mewajibkan peniaga di bawah pentadbirannya untuk menerap serta menyediakan kaedah pembayaran nirtunai (tanpa tunai) sepenuhnya sebagai kemudahan buat pengguna.

Usaha ini, tidak hanya menjamin keselamatan dan kesejahteraan kesihatan pengguna ketika sesi jualan berlaku – namun turut memperkasakan lagi penggunaan digitalisasi dalam pembelian.

MBSJ melihat langkah ini seiring dengan amalan norma baharu yang telah diguna-pakai negara dalam tempoh 2 tahun bagi mencegah penularan berlaku. Malah matlamat itu bertepatan dengan sasaran Selangor untuk menjadikan kaedah nirtunai, alternatif pembayaran utama dalam negeri.

Antara institusi kewangan yang turut menyokong bersama MBSJ adalah Maybank Berhad, Ambank Islamic Berhad, Seldec – Digital Selangor serta Touch ‘n Go.